Valentino Rossi Juara MotoGP Catalunya 2016

Valentino Rossi Juara MotoGP Catalunya 2016 - Blog MotoGP Melayu

Valentino Rossi berjaya menjadi juara perlumbaan MotoGP di litar Catalunya, Sepanyol pada 5 Jun 2016. Tempat kedua digondol oleh Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda manakala tempat ketiga diambil oleh Dani Pedrosa juga dari pasukan Repsol Honda.

Kejayaan Valentino Rossi menjadi juara sudah boleh di agak kerana pesaing terdekatnya yang juga rakan sepasukannya iaitu Jorge Lorenzo terlibat dalam kecelakaan di atas litar tatkala sedang menyendengkan motorsikal untuk mengambil lengkungan selekoh pada kelajuan tinggi.

Andrea Iannone dari pasukan Ducati tidak dapat mengawal motorsikalnya dan gagal membrek dengan baik lalu merempuh tayar belakang motorsikal Jorge Lorenzo, mengakibatnya kedua-dua mereka terbabas lalu terhumban ke bahu jalan. Walaupun terbabas pada kelajuan tinggi, Andrea Iannone dan Jorge Lorenzo tidak mengalami apa-apa kecederaan teruk.



Akibat daripada kecelakaan tersebut, Jorge Lorenzo dan Andrea Iannone tidak dapat meneruskan perlumban lantas tidak dapat memperoleh apa-apa mata di akhir perlumbaan tatkala persaingan MotoGP di litar Catalunya berakhir.

Jorge Lorenzo menyalahkan Andrea Iannone kerana lalai namun Andrea Iannone pula mengatakan perlanggaran di antara mereka berdua tidak dapat dia elakkan.



Hakikatnya, tatkala di analisa dari rakaman kamera berkelajuan perlahan, ternyata semuanya berpunca dari Andrea Iannone kerana terbukti melanggar roda belakang motorsikal Jorge Lorenzo manakala Jorge Lorenzo pula menyendeng dengan terlalu rapat dengan roda hadapan motorsikal Ducati ditunggang oleh Andrea Iannone.

Pihak pentadbiran dan penguasa MotoGP iaitu FIM telah menghukum Andrea Iannone atas kecuaiannya. Pada perlumbaan MotoGP 2016 seterusnya, Andrea Iannone akan bermula di petak paling akhir walaupun berjaya melakar catatan masa yang baik dalam ujian masa.



Setelah Jorge Lorenzo berhenti dari perlumbaan, peluang terbuka untuk Valentino Rossi dan Marc Marquez. Apalagi, setelah ketiadaan Jorge Lorenzo kedua-dua mereka berentap di litar hingga ke pusingan terakhir.

Sepanjang berentap, Valentino Rossi dan Marc Marquez saling potong memotong dan pintas memintas namun keadaan berpihak kepada Valentino Rossi kerana dapat mendahului Marc Marquez sehinggalah ke garisan penamat.

Walaupun sudah berusaha sedaya upaya namun Marc Marquez tidak dapat mengalahkan Valentino Rossi. Nyatalah pengalaman lama dalam perlumbaan MotoGP dan kemahiran menuggang pada kelajuan tinggi membolehkan Valentino Rossi berjaya mendahului Marc Marquez.

Kami terhibur menyaksikan perlumbaan antara Valentino Rossi dan Marc Marquez. Sebagai peminat tegar pasukan Repsol Honda sudah pastilah kami mengharapkan agar Marc Marquez muncul menjadi juara namun situasi sebaliknya pula yang berlaku.

Marc Marquez terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala Valentino Rossi pula amat berpuas hati dapat menjadi juara perlumbaan MotoGP di litar Catalunya setelah menanggung malu motorsikalnya berasap tebal ketika berlumba di litar Mugello, Itali, di hadapan penyokong tegar sendiri.

Walaupun Valentino Rossi dan Marc Marquez bertarung hebat di litar Catalunya sehingga seakan-akan nampak bakal menjadi musuh tatkala selesai perlumbaan, namun situasi sebaliknya pula terjadi.

Saat perlumbaan sudah berakhir kala pasukan MoviStar Yamaha berteriak riang meraikan kememangan Valentino Rossi sebagai juara di litar Catalunya, tanpa disangka Valentino Rossi maju ke arah Marc Marquez lantas berjabat tangan dengannya.

MotoGP-2016-Catalunya-Rossi-Marquez-Shake-Marc-Marquez 640 x 454

"It was a good race". Begitulah kata Valentino Rossi kepada Marc Marquez tatkala kedua-duanya berjabat tangan dengan penuh mesra. Nyatalah semangat perlumbaan antara kedua-duanya amat tinggi. Masing-masing seronok dengan perlumbaan sengit antara mereka berdua.