MotoGP Perlumbaan Motorsikal Kelas Premium

MotoGP Perlumbaan Motorsikal Kelas Premium


MotoGP merupakan perlumbaan motorsikal kelas premium. Jika F1 merupakan perlumbaan kelas premium untuk kereta, maka samalah dengan MotoGP, bezanya, MotoGP merupakan perlumbaan kelas tinggi bagi motorsikal.

Dalam saingan perlumbaan MotoGP 2016 kebanyakan motorsikal yang berlumba menggunakan enjin berkuasa 1000cc.

Setiap motorsikal dibina sendiri menggunakan tangan oleh sekumpulan jurutera dari setiap pasukan MotoGP. Kesemua motorsikal yang berlumba dalam MotoGP dibina secara bertahap dan bukannya dibina menggunakan pemasangan biasa seperti pemasangan motorsikal komersil di kilang-kilang sebaliknya dibina di garaj khusus kerana bilangan motorsikal untuk perlumbaan MotoGP adalah terhad.

Satu hal lagi anda perlu ketahui adalah, motorsikal MotoGP tidak dibenarkan berlumba di jalan raya biasa kerana motorsikal MotoGP dibina untuk berlumba di atas litar sepenuhnya. Motorsikal MotoGP tidak memiliki 'side mirror' dan 'starter' seperti motorsikal berkuasa tinggi biasa terlihat di jalan-jalan raya.

Kenapa Kami Meminati MotoGP


Jika anda tanya kami kenapa kami meminati MotoGP, ini kerana kami meminati perlumbaan motorsikal serta amat meminati motorsikal berkuasa tinggi jenis 'sporty'.

Sebenarnya ada banyak jenis motorsikal berkuasa tinggi seperti jenis cruise, classic chopper, adventure ataupun Goldwing tapi kami meminati motor jenis sporty seperti motorsikal dalam perlumbaan MotoGP.

Minat terhadap MotoGP mulai bercambah tatkala kami menyaksikan Mike Doohan berlumba dalam perlumbaan grand prix motorsikal berkuasa 500cc.

Pada masa itu kami masih lagi bersekolah di tingkatan dua dalam tahun 1994.

Kami teruja melihat Mick Doohan menyendengkan badan untuk menunggang laju di selekoh sempit serta teruja melihat bagaimana dia menunggang motorsikal Honda dengan penuh yakin sekali.

Kami terhibur melihat aksi-aksi Mick Doohan berlumba di atas litar.

Tatkala kancah saingan grand prix 500cc digantikan dengan MotoGP lalu motorsikal yang digunakan untuk berlumba menggunakan enjin berkuasa 800cc sehinggalah ke 1000cc seperti yang digunakan pada hari ini kami semakin menjadi minat dengan MotoGP.

Jika anda tanya kami pasukan MotoGP mana kami minati, sebenarnya kami amat meminati Repsol Honda.

Kenapa? Repsol Honda adalah pasukan MotoGP disertai oleh Mick Doohan sehinggalah dia bersara dari berlumba pada tahun 1999.

Repsol Honda Di Hati


Sehingga ke hari ini, Repsol Honda amat dekat di hati kami.

Jika kita lihat pada senario perlumbaan MotoGP pada hari ini, kami berpendapat keputusan Repsol Honda untuk mengambil Marc Marquez menjadi pelumba utama menggantikan tempat Casey Stoner merupakan satu keputusan yang bijak kerana Marc Marquez berbakat besar serta berlumba dengan sepenuh hati.

Andai kata Marc Marquez berpindah ke pasukan MotoGP lain serta berlumba menggunakan motorsikal dari jenama lain misalnya Yamaha ataupun Aprilia kami pasti dia tetap akan sukar untuk disaingi oleh pelumba-pelumba lain.

Bakat dan kemahiran Marc Marquez tidak ada pada pelumba lain juga tidak ada pada Jorge Lorenzo. Begitulah juga sebaliknya. Bakat dan kemahiran ada pada Jorge Lorenzo tidak ada pada Marc Marquez.

MotoGP tidak dapat dipisahkan dengan Valentino Rossi.

Tanpa Valentino Rossi, MotoGP tidak akan sepopular sekarang ini. Terdapat jutaan peminat Valentino Rossi di seluruh dunia termasuklah di Malaysia, Brunei, Indonesia.

Dari Valentino Rossi, kebanyakan anak-anak muda dan orang kebanyakan mulai kenal dengan MotoGP. Mat rempit di luar sana mulai bangga menyarung sut motorsikal dengan nombor 46 yang menjadi nombor rasmi Valentino Rossi dalam perlumbaan MotoGP.

Sehingga ke hari ini saat artikel ini kami tulis, Valentino Rossi sudah berumur 36 tahun. Walaupun sudah agak 'tua'  di kalangan pelumba MotoGP lain (kerana kebanyakan pelumba MotoGP masih muda dalam lingkungan umur antara 20 hingga 27) namun Valentino Rossi sudah menjadi juara MotoGP sebanyak 9 kali iaitu kejuaraan paling banyak dalam sejarah penganjuran MotoGP oleh FIM.

Dalam banyak-banyak pasukan pernah disertai oleh Valentino Rossi (termasuk Repsol Honda), Yamaha adalah pasukan paling lama disertai olehnya. Dalam banyak-banyak jenana motorsikal pernah ditunggang oleh Valentino Rossi sepanjang menyertai perlumbaan MotoGP (termasuk Honda dan Ducati), hanya Yamaha satu-satunya jenama motorsikal yang paling lama dalam pegangan tangan Valentino Rossi.

Selepas Valentino Rossi, entah pelumba mana lagi boleh mengatasi rekod dunia miliknya.

Pelumba-pelumba muda seperti Jorge Lorenzo dan Marc Marquez mempunyai potensi asalkan mereka masih berlumba dalam MotoGP.